BINA HUBUNGAN BAIK DENGAN MEREKA

Alhamdulillah, bersyukur kepada Allah swt di atas limpah & kurniaNya, dua forum dijalankan serentak iaitu Forum Perdana : Bicara Harmoni pada masyarakat Kristian & Tamil di Malaysia telah berjaya diadakan pada 27 Mei 2010 yang lalu.

Hari ini JK Dakwah daerah Cheras ingin berkongsikan pengalaman menyertai Forum Perdana : Bicara Harmoni pada masyarakat Tamil di Malaysia.

Tempat               : Masjid Al Najihin, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

Panel forum      : Saudara Muhd Rafiqravi Abdullah (AJK PERKIM)

Saudara Kamarul Zaman Noor Mohamed (Naib Pengerusi HC)

Moderator         : Saudara Mohd Rafee Rahman (AJK JIM Klang)


Walaupun hari Jumaat adalah hari cuti (Hari Wesak), hampir 150 orang jamaah sekitar Bandar Sri Permaisuri tetap hadir membanjiri masjid untuk mendengar forum pada malam itu. Tahniah diucapkan kepada jamaah Bandar Sri Permaisuri.

Soalan 1 : Tentang berapa jenis suku kaum masy tamil? Apa budaya & sistem yang mereka amalkan? (Saudara Muhd Rafiqravi)

Para hadirin yang dirahmati Allah sekalian, secara umumnya kaum India boleh dipecah kepada dua iaitu :

a. Asal dari utara India

b. Asal dari selatan India (majoriti di Malaysia)

Kita fokus terus di Bahagian Selatan India yang mana majority mereka ini adalah orang Tamil iaitu hampir 85% dan majoriti beragama Hindu dan seterusnya berhijrah ke Tanah Melayu pada masa dulu. Di kalangan mereka ini, ramai juga yang beragama Islam, Kristian dan Atheis (Mulhid atau nastigan dalam bahasa Tamil) serta berbagai kepercayaan lain.

Bila kita melihat budaya masyarakat ini, mereka memang kaya dengan kebudayaan, dari seorang itu lahir hingga dia mati penuh dengan perkara-perkara adat dan agama. Sebagai contoh:

a)      bagi anak perempuan yang baru akil baligh, mereka akan diadakan satu upacara yang dipanggil “sadanggu”.

b)      bagi ibu-ibu yang mengandung, Majlis “Valakaapu” dan wanita itu dipakaikan “suulkaapu” (gelang  perlindungan) utk keselamatan si ibu dan anak dalam kandungannya.

c)      bagi seorang bayi baru lahir, tarikh lahir dan masa lahir mesti dicatatkan bagi pihak bapa memilih nama yang sesuai. Ini dilakukan setelah merujuk almanac atau jathagam (tilikan) berpandukan tarikh lahir, masa, tempat dan sebagainya.

d)     adat bersanding yang sentiasa di amalkan dalam agama Hindu. Ia bagaikan suatu upacara yang wajib bagi kedua-dua pengantin. Jadi, dikala ini, masyarakat Melayu Islam sudah lama terikut dengan amalan ini dan dimasukkan dalam majlis perkahwinan mereka. Oleh yang demikian, marilah kita hentikan amalan ini agar kita mendapat rahmat daripada Allah swt.

e)      perayaan Hindu yang paling popular dikalangan orang Tamil Hindu adalah “Ponggul” dan Thaipusam yang sering kita lihat di Batu Caves.

f)       Deepavali atau Pesta Cahaya kebiasaannya disambut dengan sederhana sahaja.

Soalan 2 : Apa pegangan atau amalan kehidupan mereka & bagaimana nak berdakwah pada mereka? (Saudara Kamarul Zaman)

Sidang  hadirin yang dirahmati Allah sekalian. Perkara penting untuk mengenali mad’u (orang yang hendak didakwah), kita perlu mengetahui latar belakang pendidikan dan budaya mereka. Tambahan lagi apakah pantang larang mereka terutamanya terms atau panggilan yang kita gunakan. Satu perkara yang masih dan belum sepenuhnya kita hindari adalah panggilan keling. Perkara ini mesti kita hindari sebab ia boleh menyebabkan sakitnya mereka dengan kita dan pertelingkahan antara kita dan mereka. Walhal mereka ini bukan semuanya keling. Perkataan keling itu sendiri bermaksud golongan masyarakat India yang berasal dari daerah Kalinga di India. Isu kasta juga merupakan perkara yang sensitif dan bagi mereka yang tidak mengetahui hal ini janganlah kita suka-suka menyebutnya. Seperti mana firman Allah yang menyatakan Allah bukan memandang paras rupa dan warna kulit seseorang itu tapi Allah memandang keimanan mereka kepadaNya.

Firman Allah swt dalam Surah Al-Hujurat, 49:13. Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu.  Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.

Hubungan yang baik antara kita dan golongan ini juga amat ditekankan. Kita bina hubungan baik dan melaluinyalah kurang jurang perbezaan antara kita mereka. Elakkan perdebatan. Menangilah hati-hati mereka. Ajaklah mereka makan sebagai contoh di samping ambil berat tentang mereka. Jika kita tahu bahawa biasanya ibubapa mereka akan sibuk ke kerja menghala ke KL sebagai contoh dan akan menghantar anaknya ke sekolah di sekitar Serdang serta dalam masa yang sama juga kita kerja di Bangi. Ambillah peluang ini untuk menawarkan diri berkhidmat dengan menghantar anaknya ke Serdang. Masya’Allah bukankah perbuatan ini mulia?

Apabila kita tahu bahawa jiran kita ini sakit, cepat-cepatlah kita mengunjungi mereka sama ada di rumah atau di hospital. Bawalah hadiah atau bagilah bantuan kewangan untuk meringankan beban yang mereka tanggungi. Bermesralah dengan mereka dan hiburkanlah mereka dalam kedukaan yang mereka hadapi dan berilah galakan dan semangat dalam mengharungi dugaan dan cabaran.

Jika kita tahu bahawa jiran kita yang Tamil ini minat dengan bola, cepat-cepat kita buat study atau bacaan untuk mengetahui lebih lanjut sukan ini. Jadi, dalam kita mengajak mereka berbual, bawalah hal-hal bola ini yang menambah kesukaan pada mereka. Cakap pasal bola saja, kita sama-sama dah tersenyum dan ketawa dalam cerita bola. Dengan persamaan yang ada antara kita dan mereka, ia akan mengurangkan ketidaksefahaman dan boleh menjadi permulaan dalam dakwah kita.

Selain itu juga, adalah lebih baik jika kita mulakan sesuatu perbincangan dengan sering mengeluarkan banyak persoalan yang bertujuan untuk mengetahui lebih lanjut lagi kebudayaan mereka. Sebagai contoh yang mudah, tanyalah mereka yang biasanya memakai tanda merah atau hitam di dahi. Apa nama tanda tersebut? Apa maksud setiap warna yang dipakai mereka? Tambahan lagi, tosai memang biasa kita makan adakah kita tahu ia diperbuat daripada apa? Hal ini juga boleh kita tanya pada mereka. Benarlah firman Allah swt dalam Surah Ali Imran ayat 3:64.

Katakanlah: “Hai Ahli Kitab, marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahwa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebagian kita menjadikan sebagian yang lain sebagai tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah, bahwa kami adalah orang-orang yang berserah diri (kepada Allah)”.

Dalam konteks agama mereka pula, kita boleh bawa satu konsep ketuhanan yang mana jika orang Hindu menyembah tuhan brahma (tuhan pencipta), vishnu (tuhan pentadbir) dan shiva (tuhan pemusnah). Kita nyatakan juga pada mereka bahawa Allah Maha Pencipta, Maha Pentadbir dan Maha Pemusnah yang menunjukkan persamaan antara kita dan mereka di mana masing-masing punyai tuhan untuk disembah. Antara lain persamaan adalah konsep ketuhanan yang mana kitab Hindu juga mengakui tuhan itu satu.

Soalan 3 : Melalui pengalaman dan pemerhatian dulu dan sekarang, bagaimana mereka memahami & melihat Islam terutama di Malaysia? (Saudara Muhd Rafiqravi)

Sebelum saya memeluk Islam, ibu saya selalu melarang dan berkata “jangan masuk Melayu”. Ingatkan ibu saya sahaja yang salah faham, rupa-rupanya kebanyakan orang India juga beranggapan masuk Islam itu sama dengan “masuk Melayu”. Setelah saya memeluk Islam, ramai rakan Melayu saya bertanya “saya dengar awak dah masuk Melayu ya?” atau “bila masuk Melayu?” dan “apa nama Melayu?”. Dengan pertanyaan itu, barulah saya faham yang menyebabkan kebanyakan orang bukan Islam salah faham kerana kesilapan pada diri kita sendiri. Oleh yang demikian para jamaah sekalian, kita perlu perbetulkan salah tanggapan ini agar kita jelas antara bangsa dan agama di mana kedua-duanya saling berbeza.

Walaubagaimanapun, satu perkara yang saya puji orang Melayu adalah apabila dia tahu saya sudah masuk Islam, perkataan pertama dilafazkan oleh mereka adalah “Alhamdulillah dan tahniah”. Jika dibandingkan dengan kawan-kawan baik saya yang tahu saya memeluk Islam mereka pula yang menakut-nakutkan dengan berkata “tak takut ke masuk Islam ni susah, banyak benda nak buat?, Kenapa kamu masuk Islam, keluargamu datang ke sini asyik marah-marah saya sahaja.”

Untuk pengetahuan para hadirin dan hadirat sekalian, secara keselurunhannya janganlah kita fikir bahawa orang Tamil ini anti orang Melayu, yakinlah bahawa apabila mereka masuk Islam automatik mereka akan sayang orang dengan orang Melayu kerana agama  yang satu dan teserlah bahawa kesatuan orang Melayu ini dalam kehidupan mereka.

Salah faham orang Tamil di negara kita ini adalah disebabkan kita sendiri dan unsur pengaruh dari luar seperti media massa, surat khabar dan internet. Orang Tamil kebiasaannya amat bertoleransi tetapi faktor luar yang kurang baik semakin mempengaruhi mereka termasuk hubungan buruk antara orang Islam dan Hindu di India. Kita perlu kuat memperjelaskan salah faham mereka ini dengan hikmah.

Soalan 4 : Apakah soalan-soalan lazim yang mereka tanya tentang Islam? (Saudara Kamarul Zaman)

a)     Dalam Islam sepatutnya tidak menyembah berhala tapi kenapa di Mekah orang Islam sembah ”lingam” (Kaabah), itu tuhan kami?

b)    Kenapa arak tidak boleh diminum sedangkan ia menjadi sebahagian dalam hidup atau budaya kami?

Jawapan soalan (a).

Kaabah ialah kiblat iaitu arah Muslim menghadap semasa sembahyang. Ia menjadi perkara wajib (rukun) kepada Muslim untuk menghadap ke Kaabah sama ada seseorang itu di timur, barat, utara dan selatan. Kita juga boleh buat persetujuan dengan orang Tamil ini iaitu jika sesuatu yang di pijak sudah tentu tidak akan disembah dan sesuatu yang di sembah sudah tentu tidak akan di pijak.

Sebagai contoh, semasa zaman Rasulullah saw, ada orang (Bilal bin Roba) tidak dilarang naik dan berdiri di atas Kaabah dan kemudian melaungkan azan untuk memanggil Muslim sembahyang. Jadi, kita bukan sembah Kaabah sebab kita boleh naik dan berdiri di atasnya. Begitu juga di dalam Kaabah tiada lingam yang mereka sangkakan sebab ia adalah hanya ruang macam bilik sahaja. Lingam ini bermaksud kemaluan lelaki dan wanita yang menjadi sembahan orang Hindu.

Jawapan soalan (b).

Minuman alkohol pemusnah kehidupan masyarakat yang menjadikan kita tidak bermoral. Ia menambahkan lagi hidup kita tidak berguna dan menyebabkan kesengsaraan kepada jutaan manusia yang meminumnya. Alkohol adalah punca kepada maksiat dan kejahatan di dunia seperti kadar jenayah yang boleh meningkat, penyakit mental yang kritikal dan keruntuhan rumahtangga menjadi testimoni yang besar kesannya kepada kita. Bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud:

Surah Al-Maidah, 5:90. Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan.

Sedangkan dalam bible juga turut mengharamkan arak :

Anggur (wain) adalah pencemuh (perosak), minuman yang amat keras dan tidak bijaklah bagi mereka yang mengambilnya. Amsal (Proverbs) 20:1

Kesimpulan kedua-dua penceramah:

a)     Bina hubungan baik dengan orang Tamil dan jangan timbulkan isu-isu sensitif yang boleh menaikkan kemarahan mereka.

b)    Jaga istilah, perkataan dan ayat-ayat sensitif seperti keling, pariya, arak dan sebagainya.

c)     Carilah persamaan antara kita dan mereka.

Leave a comment