BAB 1: FIQAH IMAN & AGAMA

Persoalan 1: Upacara Tafakur di hadapan patung

Kisah patung  pada zaman para nabi.

Al-Qur’an menceritakan kisah Nabi Nuh a.s. dan patung  yang wujud pada zamannya. Terdapat 5 jenis nama patung yang disebut dalam Al-Qur’an. Firman Allah dalam surah Nuh : 23 yang bermaksud,

“Dan mereka berkata agar kamu janganlah meninggalkan tuhan-tuhan kamu dan janganlah kamu meninggalkan Wadd, Suwa’, Yaghus, Yau’uq dan Nasra.”

Patung-patung ini asalnya dibina sebagai tanda ingatan dan kenangan orang soleh yang dibina selepas kematian mereka. Namun akhirnya kenangan-kenangan tersebut bertukar menjadi ibadah pula. Al-Qur’an juga menceritakan peristiwa Nabi Ibrahim a.s. menentang kaumnya yang mengagungkan berhala-berhala. Sehingga ke zaman Nabi Muhammad SAW, patung-patung ini masih wujud. Oleh itu, Islam tidak mengiktiraf patung yang dianggap sebagai berhala. Ia tergambar dalam hadis yang menggunakan istilah “shuroh” yang merujuk kepad patung.

Hadis riwayat al-Bukhari juga menyatakan bahawa malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang ada patung di dalamnya. (Riwayat al-Bukhari daripada Abdullah ibn Abbas dalam Sahih al-Bukhari, hadis bil 3351)

Oleh sebab itu, upacara tafakur di hadapan patung tidak wajar dilakukan. Contohnya kalau ada keluarga saudara baru bukan muslim meminta saudara baru bertafakur seketika di hadapan patung mereka. Amalan ini tidak wajar dilakukan oleh muslim walaupun atas dasar menghormati agama lain.

Sebaliknya penghormatan kepada agama lain ialah dengan menerangkan bahawa muslim tidak boleh melakukannya.

Leave a comment