Hilali teguh dalam Islam

Aura kehidupan seorang saudara baru: Hilali Teguh Dalam Islam

Dapatkah anda bayangkan jika sebahagian tubuh yang dilemparkan di hadapan anda dalam keadaan tidak sempurna atau telah dikerat-kerat merupakan mayat bapa anda yang dibunuh kejam. Sebabnya, hanya kerana merestui pilihan anak tunggalnya itu untuk memeluk agama Islam.

Pastinya, peristiwa penuh tragis sebegini jarang atau tidak pernah berlaku di kalangan saudara baru di bumi Malaysia. Hakikatnya, sepanjang membuat liputan kisah-kisah pengislaman insan yang bergelar mualaf di negara ini, lumrah yang dialami ialah disisih keluarga kandung, dipulau sanak saudara, diugut bunuh, dimaki hamun dan tidak kurang juga pandangan serong orang sekeliling.

Rupa-rupanya apa yang dialami oleh anak muda kelahiran Burundi, Afrika Barat, Hilali Sibomana, 30, jauh lebih tragis dalam episodnya mengharungi kehidupan sejurus dirinya bergelar mualaf. Malah, demi mempertahankan akidah Islam, Hilali sanggup dilabel sebagai pelarian politik di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), sejak menjejakkan kakinya di Malaysia pada November 2003.

Tambah pemuda bertubuh sasa ini lagi, untuk sampai ke Malaysia, beliau terpaksa merentasi beberapa negara seperti Kenya, Dubai dan Bangladesh. Malah sehinggakan terpaksa berjilbab semata-mata untuk melepasi sempadan. Pun begitu, tidak pernah sekali-kali anak tunggal ini mengeluh, jauh sekali menyesali qada dan qadar diri. Malah beliau sentiasa mensyukuri penghijrahan akidah yang telah memasuki lima tahun itu.

“Sebelum memeluk Islam, saya telah dilatih oleh komuniti Kristian di perkampungan kami untuk menjadi mubaligh Kristian di negara kami. Pengaruh gerakan Kristian di kampung saya cukup kuat dan boleh dikatakan majoriti penduduk di situ adalah pengikut setia ajaran Kristian.

“Malah, mereka jugalah yang menampung kos pembelajaran dan acap kali berjaya mengkristiankan orang, imbuhan yang diperoleh memang lumayan. Demi melahirkan mubaligh Kristian sejati, setiap daripada kami diwajibkan mengkaji bukan sahaja kitab Injil tetapi kitab al-Quran.

“Dalam proses itu jugalah, rupa-rupanya saya terima hidayah Ilahi. Apa tidaknya, semakin saya membuat kajian terperinci dan perbandingan di antara dua kitab ini, banyak kekeliruan yang timbul dan yang peliknya, apa yang disebutkan di dalam al-Quran dan dijelaskan daripada sunah, itu lebih menyakinkan,” cerita pemuda Hilali yang fasih bahasa Inggeris dan bahasa Perancis selain bahasa ibunda etnik negaranya.

Sambung Hilali yang turut kehilangan ibu tercinta, tambah menghairankan beliau, bila mana melihat paderi yang juga merupakan teman rapatnya sedang mendirikan solat. Lebih memeranjatkan, bila teman tersebut menasihatkannya agar berpura-pura masih Kristian, demi keselamatan nyawa.

Namun, beliau sudah menjangkakan akan menghadapi banyak halangan dan tentangan kesan daripada pengislaman diri. Hakikatnya, tidak semua orang seteguh Hilali, sebaik bergelar Muslim, semua aset sama ada di bank mahupun yang berbentuk tanah dan rumah milik keluarganya telah dibekukan dan dirampas. Lebih tambah menyukarkan dia cuma tinggal sehelai sepinggang.

Walau bagaimanapun, Hilali juga ada membuat persiapan sendiri seperti mengeluarkan wang simpanannya kerana mengetahui keselamatannya tidak akan terjamin jika terus menetap di Burundi. Apa lagi, telah diugut akan menerima nasib serupa bapanya, Yanduzo Bangirichenga jika terus dengan keputusannya untuk memeluk agama Islam.

Pun begitu, jelasnya pengorbanan beliau itu adalah terlalu kecil berbanding apa yang dilakukan oleh kedua-dua ibu bapanya. Sebagai anak, Hilali hanya mampu berdoa dan berharap semoga Allah jua yang dapat membalas segala kebaikan insan paling bermakna dalam hidupnya itu.

Kata Hilali, sepanjang menetap di Malaysia, tidak kurang juga cabaran yang dihadapinya kerana pernah kehilangan pasport antarabangsa pada 2004. Ketiadaan dokumen penting itu menyebabkan permohonannya melanjutkan pelajaran ke Kanada terpaksa dibatalkan. Alhamdulillah, dua tahun kemudian beliau berjaya memperoleh pasport baru.

Akui ahli perniagaan muda sebuah perusahaan kasut milik keluarga di negaranya itu lagi, penglibatan beliau dengan Outreach ABIM bermula pada April 2008 dan kemudian mengikuti beberapa program di bawah kendalian Hidayah Centre, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

“Umat Islam di negara ini cukup beruntung kerana mereka bebas melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim malah kelas-kelas pengajian Islam juga turut banyak disediakan.

“Berbeza dengan di negara saya, agama Islam sentiasa di pandang negatif dan buruk. Islam dikecam sebagai agama penipu, ilmu hitam dan pelacuran kerana membenarkan pengamalan poligami.

“Walau apa pun yang melanda, saya tidak pernah berputus asa kerana saya ada misi dan perjuangan saya sendiri. Buat masa ini, sasaran saya ialah kembali ke tanah air demi memperjuangkan nasib minoriti Muslim di sana sebelum 2020,” kata Hilali yang akan melanjutkan pelajaran ke Canada pada tahun ini.

________________________________________________________________________________

Rebutlah pahala yang dijanjikan Allah dengan menginfaqkan rezqi anda ke Hidayah Centre,
Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia.

Sumbangan tuan-tuan puan-puan bolehlah disalurkan dalam bentuk cek atas nama “PERTUBUHAN JAMAAH ISLAH MALAYSIA” atau terus “bank in” ke no akaun CIMB kami iaitu 1441 0009 8200 56.

Semoga Allah melipatgandakan pahala tuan-tuan puan-puan dan diletakkan tuan-tuan puan-puan bersama orang-orang yang beriman di syurga firdausNya. Insya’ Allah. Amin.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s