Sambutan Tahun Baru Cina Perkenalkan Keterbukaan Islam

KUALA LUMPUR – Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan telah diadakan di Dewan Kristal, Pusat Konvensyen TM di Bangsar pada Ahad 3 Mac 2013 lalu, memperkenalkan keterbukaan Islam dalam meraikan sesuatu perayaan sesuatu kaum, selagi ia berlandaskan syariat.

Majlis ini dianjurkan oleh Hidayah Centre, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Malaysia Chinese Muslim Association (MACMA), Restoran Mohd Chan Abdullah dengan kerjasama Badan Kebajikan Islam Telekom Malaysia (BAKIT) dan Overseas Chinese Muslim Association Malaysia (OCMA).

  

Tarian singa dan para tetamu jemputan yang hadir

Turut hadir memeriahkan suasana ialah kehadiran isteri Menteri Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar, Datin Nafesah Raja Nong Chik dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM, Hj Ahmad Nasir Ahmad.

Sambutan secara harmoni ini berjaya merobohkan persepsi negatif bahawa masyakat Cina yang masuk Islam mesti meninggalkan identiti bangsa mereka. Identiti Cina dalam sambutan tersebut dikekalkan melalui hidangan makanan Cina yang halal, tarian singa dan pertandingan kaligrafi Cina.

Majlis yang meriah ini dihadiri lebih 1,000 orang di mana majoritinya adalah masyarakat Cina yang belum Islam. Semua yang hadir diberikan cenderamata berupa risalah-risalah pengenalan mengenai Islam.

  

Ucapan Hj Muhammad, Prof Dr Hatta dan Datuk Dr Mustapha Ma

Gema gendang dan tarian singa mengiringi kemasukan tetamu jemputan ke dalam dewan. Ucapan aluan dan penghargaan disampaikan oleh Pengerusi Hidayah Centre, Hj Muhammad Nicholas Sylvester dan Timbalan Presiden IKRAM, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.

Presiden MACMA, Datuk Dr Mustapha Ma dalam ucapannya menarik perhatian umum apabila meminta hadirin berdiri dan melaungkan kata-kata hikmah Cina diikuti dengan senaman ketawa beberapa kali untuk tujuan kesihatan dan menceriakan suasana.

  

Ucapan perasmian Hj Ahmad Nasir, ceramah Dr Yunus Ma dan tetamu jemputan menggaul yee sang

Hj Ahmad Nasir Ahmad mewakili Ketua Pengarah JAKIM telah merasmikan Sambutan Tahun Baru Cina Peringkat Kebangsaan yang telah diadakan buat kali ke-4. Beliau menyatakan komitmen JAKIM untuk bekerjasama menganjurkan program sebegini pada masa akan datang, untuk tujuan dakwah.

Menurut Hj Nicholas, sebanyak 16 program Sambutan Tahun Baru Cina di seluruh negara merangkumi lima buah negeri iaitu Selangor, Sabah, Pulau Pinang, Pahang dan Kelantan. Beliau optimis program sebegini akan dikembangkan ke negeri-negeri yang lain.

Seterusnya, Dr Yunus Ma, pensyarah UIAM menyampaikan ceramah mengenai sambutan perayaan menurut perspektif Islam dalam bahasa Mandarin.

  

Para hadirin menjamu selera diiringi persembahan dan celoteh Helmi The Gimmick

Semasa makan tengahari, majlis dimeriahkan dengan persembahan tarian singa secara bertangga yang bertenaga di dalam dewan. Turut menghiburkan hadirin terutama masyarakat Cina ialah persembahan Helmi The Gimmick yang menceriakan suasana, dengan celotehnya dalam bahasa Tionghua serta nyanyiannya dalam bahasa Mandarin dan Hokkien.

Sementara itu, Sambutan Tahun Baru Cina 2013 di Pulau Pinang telah diadakan di Tapak Pasar Malam, Jalan Aziz Ibrahim, Pantai Jerejak pada Sabtu 2 Mac 2013 lalu anjuran Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama Hidayah Centre Pulau Pinang (HCPP), IKRAM Pulau Pinang dan MACMA.

Tujuan program ini adalah untuk meraikan Sambutan Tahun Baru Cina di samping berdakwah kepada masyarakat Cina yang belum Islam secara harmoni.

  

Pendaftaran, tarian singa dan pertandingan mewarna

Kehadiran lebih 500 orang di mana separuhnya adalah masyarakat Cina dan selebihnya adalah masyarakat Melayu dan India. Turut hadir ialah Exco Negeri Pulau Pinang YB Chow Kon Yeow yang merasmikan sambutan, ADUN Pantai Jerejak YB Sim Tze Tzin, Ahli Majlis MPPP, Hj Mohd Rashid Hasnon dan YDP IKRAM Pulau Pinang, Ir Jamaluddin Abdullah.

Antara acara-acara menarik ialah tarian singa, drum Cina, pertandingan melukis, pertandingan reka cipta, program silang budaya kanak-kanak, pameran, pemeriksaan kesihatan, ceramah, kuiz, angpau dan cabutan bertuah.

  

Ucapan Hj Mohd Rashid, ucapan perasmian YB Chow dan persembahan dram Cina

Gerai pameran terdiri daripada pameran HCPP iaitu maklumat mengenai Laksamana Cheng Ho, kaligrafi Cina, buku-buku percuma, al-Quran dan brosur dakwah.  Pameran turut diadakan MPPP mengenai kesihatan, penguatkuasaan di samping pameran oleh Aqsa Syarif.  Ceramah juga disampaikan dalam majlis ini oleh Sdr Jumaat, pelajar PhD di USM yang berasal dari China.

Antara soalan kuiz ditanya pada yang bukan Islam antaranya “Berapa tuhan dalam Islam?”, “Siapa Jesus dalam Islam ?”, “Bolehkan orang Islam merayakan Tahun Baru Cina?” Kuiz mendapat respon yang baik daripada peserta belum Islam dan pihak HCPP turut memberikan buku-buku Islam kepada mereka.

  

Pemeriksaan kesihatan, lawatan tempat pameran dan bersama pemenang kanak-kanak berbilang kaum dalam satu kumpulan

Selain pemeriksaan kesihatan, program pertandingan kanak-kanak, angpau serta cabutan bertuah mencuri perhatian  peserta yang hadir semasa program. Antara respon positif hadirin ialah program kali ini amat-amat baik dan ada yang meminta diadakan lagi pada tahun depan.

Semoga hasilkan keterbukaan Islam meraikan Sambutan Tahun Baru Cina bersama-sama, membolehkan sinar Islam menerangi seluruh masyarakat Cina di Malaysia, insya-Allah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s