HAPPY HAPPY GONG XI FA CAI 2012 MERIAH!

GOMBAK, 28 Jan- Program Sambutan Tahun Baru Cina Hidayah Centre 2012 telah dilaksanakan dengan jayanya. Program ini merupakan program anjuran bersama Hidayah Centre, Pertubuhan IKRAM Malaysia Gombak dan Ampang Jaya dengan kerjasama Malaysian Chinese Muslim Association (MACMA) Selangor dan Restoran Hj Sharin Low. Berbeza dengan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun lepas, penganjuran kali ini yang bertemakan “Happy Happy Gong Xi Fa Cai” telah diadakan di Restoran Hj Sharin Low cawangan Sri Gombak bermula dari jam 8.30 pagi hingga 2:30 petang.

Objektif utama penganjuran majlis ini adalah untuk :

  • Memperkenalkan konsep kemasyarakatan Islam kepada masyarakat bukan Islam terutamanya kepada rakyat Malaysia yang berbangsa Tionghua berkenaan keindahan Islam sebagai satu cara hidup yang sesuai dipraktikkan oleh semua bangsa.
  • Menyingkirkan salah anggap terhadap agama Islam yang selama ini digambarkan oleh media-media barat sebagai agama yang menganjur keganasan dan tiada toleransi.
  • Meraikan dan menyantuni saudara baru berbangsa Tionghua dengan sambutan perayaan Tahun Baru Cina

Majlis dimulakan dengan persembahaan Tarian Singa sebagai persembahan pembukaan. Jelas tergambar keterujaan
sebahagian tetamu terutamanya bagi yang pertama kali menyambut perayaan masyarakat Cina ini dan melihat Tarian Singa secara langsung. Majlis kemudian diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi MACMA Selangor, Hj. Sharin Low yang juga merupakan pemilik Restoran Hj. Sharin Low yang telah berjaya mengembangkan sayap perniagaannya sehingga membawa kepada pembukaan 8 buah cawangan restoran sekitar Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Haji Sharin Low (baju merah) merasmikan pembukaan CNY Open House

Majlis kemudian diikuti dengan ucapan perasmian. CNY 2012 telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Tuan Syed Ibrahim Syed Noh selaku Naib Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM). Dalam ucapannya, beliau menegaskan pendirian IKRAM sebagai sebuah badan NGO Islam yang amat menyokong usaha-usaha penganjuran sambutan yang mengumpulkan rakyat berbilang bangsa sesuai dengan konsep Islam sebagai ‘rahmatan lil ‘alamin’. Majlis sambutan perayaan Tahun Baru Cina yang diadakan pada tahun 2012 ini merupakan penganjuran kali ketiga sebagai salah satu program tahunan Hidayah Centre sejak mula diperkenalkan pada tahun 2010.

Gabungan tiga orang pengacara majlis (gambar kiri) iaitu Brother Mohd Farid dengan versi berbahasa Inggeris, Hj. Kamal Koh dengan versi Mandarin dan DJ Idris dengan versi bahasa Melayu cukup menceriakan majlis. Alunan Firdausi Entertainment (AFE) telah diberi mandat buat kali kedua untuk pengurusan teknikal sambutan Tahun Baru Cina anjuran Hidayah Centre.

Sambutan pada tahun ini menyaksikan peningkatan jumlah tetamu yang belum Islam (Non-Muslim) terutamanya bangsa Cina dan tidak ketinggalan masyarakat India yang turut hadir memeriahkan majlis yang dianjurkan. Anggaran tetamu yang memenuhi ruang sekitar majlis berlangung melebihi 600 orang dengan 65% bukan Melayu. Melepasi 50% target yang ingin dicapai oleh pihak penganjur. Alhamdulillah. Setinggi-tinggi pujian bagi Allah yang telah membuka ruang berkenal-kenalan antara pelbagai bangsa di Malaysia sekaligus membuka peluang dakwah seluasnya kepada setiap Muslim yang hadir. Sebagaimana kalam Allah dalam al-Quran :

“Wahai manusia ! Sesungguhkan kami menciptakan kalian dari lelaki dan perempuan dan Kami jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kalian saling mengenal”.  (Surah Al-Hujurat 49: 13)

Program ini terbuka kepada masyarakat umum dengan syarat mesti membawa bersama sekurang-kurangnya seorang rakan yang terdiri daripada saudara baru/ Muallaf atau rakan belum Islam (Non-Muslim) untuk berkongsi kegembiraan meraikan perayaan kebudayaan masyarakat Cina disamping mengikuti pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun.

Para hadirin yang hadir dan menjamu selera

Para tetamu dihidangkan dengan makanan tradisi bangsa Cina (gambar di atas) hasil sentuhan pemilik restoran berkenaan. Pengalaman pertama merasai masakan Cina pastinya membuka selera setiap tetamu yang hadir. Sambil menikmati santapan, para tetamu berpeluang mendengar perkongsian ilmu bertajuk Chinese Muslim Contribution In China. yang telah disampaikan oleh Hj. Sharin Low (gambar bawah) sendiri.

Mutiara-mutiara berharga yang dikongsikan berkenaan perkembangan awal Islam yang telah bermula dari Negara China cukup membuka minda tetamu yang hadir. Beliau juga berkongsi pengalaman berkaitan pendekatan terbaik mewujudkan masyarakat yang harmoni di negara Malaysia melalui persefahaman dalam beragama. Di samping itu, majlis turut diserikan dengan kehadiran badut daripada ‘Siso De Clown’ yang juga merupakan saudara baru yang disantuni oleh Hidayah Centre, saudara Adam Lee (gambar bawah).

 Dalam pada itu, Pengarah program, saudara Zun Arif Hakim Abdul Rahman (gambar di bawah) turut mengambil peluang mempromosikan Teater Pentas Islamofobia anjuran Hidayah Centre yang dijadualkan akan dipentaskan pada 8 Februari tidak lama lagi.

Tayangan multimedia turut disiarkan kepada tetamu berkisar mengenai kajian Sains dan perkaitannya dengan Al-Quran serta video ‘Open Your Eyes’ nyanyian Maher Zain yang diharapkan akan membuka mata hati setiap tetamu. Sesuatu yang tidak dapat disangkal, dewasa ini ramai dari kalangan ahli sains dan matematik telah  menerima dan mengakui kebenaran Islam menerusi penemuan daripada hasil kajian mereka telah disebutkan dalam Al-Quran sejak 1400 tahun dahulu.

Hidayah adalah milik Allah. Tarikh bersejarah 28 Jan 2102 menyaksikan pengIslaman seorang anak muda, saudara Raja (Bukan nama sebenar) Bumiputera Sabah, berusia 20 tahun yang telah melafazkan syahadahnya ditengah-tengah keriuhan orang ramai yang hadir. Alhamdulillah. Beliau adalah insan terpilih untuk menerima hidayah Allah SWT. Dakwah itu mudah bukan?

Sebagai pelengkap majlis, cabutan bertuah juga turut diadakan khusus bagi memeriahkan majlis dan meraikan tetamu yang hadir. Lebih istimewa apabila golongan kanak-kanak turut diberikan ang pow seperti tradisi sambutan Tahun Baru Cina yang sejajar tuntutan Islam yang amat menggalakkan amalan sedekah.

    

Pemberian ang pow kepada anak-anak muda – amalan mulia

Menariknya, sambutan CNY pada tahun ini mendapat liputan yang meluas daripada media. Media terawal yang menulis artikel berkenaan sambutan Tahun Baru Cina ialah akhbar Utusan Malaysia. Antara media yang hadir membuat liputan termasuklah daripada TV9, TV Al-Hijrah, RTM dan tidak ketinggalan IKRAM Media.

Semoga usaha sama daripada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis ini diberkati dan diganjaran dengan balasan kebaikan oleh Allah.

3 responses to “HAPPY HAPPY GONG XI FA CAI 2012 MERIAH!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s