Iftar Perdana rai saudara baru

Saudara baru menyampaikan nasyid dalam pelbagai bahasa etnik sempena majlis Iftar Perdana di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

KOTA KINABALU 2 Sept. – Saudara baru atau mualaf merupakan insan terpilih yang diberikan hidayah untuk kembali kepada agama yang benar dan diredai iaitu Islam.

Lazimnya, saudara baru berhadapan dengan pelbagai cabaran dan memerlukan bimbingan daripada umat Islam untuk menjadi umat yang taat dan cemerlang.

Namun, saudara baru seringkali juga berhadapan pelbagai dugaan seperti dipulaukan keluarga sendiri dan tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

Disebabkan itulah juga saudara baru dengan mudah diperlekehkan pelbagai pihak menyebabkan ada antara mereka bertindak nekad kembali kepada agama asal.

Atas hakikat inilah Hidayah Centre yang merupakan pusat sokongan saudara baru terus merancang pelbagai aktiviti menarik bagi membimbing, membantu dan memotivasi saudara-saudara baru di negeri ini.

Buat julung kalinya juga Hidayah Centre menganjurkan majlis Iftar Perdana di negeri ini bagi meraikan saudara-saudara baru.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati majlis yang bermula pada pukul 3 petang itu bukan sahaja dipenuhi pelbagai aktiviti tetapi berjaya mengetengahkan kekuatan dan kemampuan pada diri saudara baru.

Permulaan majlis itu didahului dengan bacaan doa dalam bahasa Cina oleh seorang saudara baru, Abdul Rahman Fan Abdullah.

Kemudiannya Saidin Libin berasal dari Ranau yang merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) akibat masalah penglihatan telah menunjukkan kemampuannya membaca al-Quran Braille.

Majlis diteruskan dengan forum memperkasakan saudara baru yang turut menyaksikan dua saudara baru iaitu Joannes Lukas dan Fadhil Abdullah berkongsi kisah suka duka mereka.

Pengerusi Hidayah Centre yang juga saudara baru, Muhammad Abdullah @ Nicholas Sylvester kemudiannya turut memberi kata semangat dan perangsang kepada saudara baru yang hadir.

Ketika forum hangat berlangsung di dalam dewan, suasana di luar dewan juga tidak kurang meriah apabila beberapa penceramah turut memberikan ceramah kepada kanak-kanak.

Menurut Pengarah Program, Firdaus Said kira-kira 140 saudara baru menyertai program julung kali diadakan di negeri itu.

“Tujuan utama program ini adalah bagi meraikan saudara baru dan berkongsi cerita dengan mereka seterusnya sama-sama memperkasakan dan membela naib saudara baru.

“Melalui majlis ini juga kita mengutip dana bagi membantu saudara baru di negeri ini secara berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, program Iftar yang diadakan di Sabah pada kali ini bukan sahaja dipenuhi pelbagai aktiviti malah turut menampilkan keunikan setiap etnik di Sabah.

“Majlis ini juga cuba menonjolkan ciri-ciri setiap etnik yang masih kekal pada saudara-saudara baru kita seperti pakaian dan bahasa meskipun mereka telah memeluk Islam,” katanya.

Dalam pada itu bagi Joannes yang turut berkongsi kisahnya berkata, majlis itu amat bermakna buat semua saudara baru.

Katanya, peluang yang diberikan itu amat besar erti bagi memberi semangat dan kekuatan kepada saudara baru untuk terus tabah menghadapi pelbagai cabaran.

Seorang saudara baru, Noraini Abdullah, 22, berkata, kehadirannya pada majlis itu memberi semangat dan dorongan yang kuat untuknya terus mempelajari agama Islam.

Katanya, melalui majlis itu juga telah meningkatkan motivasi dan semangat untuk terus menimba ilmu dan menyebarkan dakwah Islam.

“Ia sebenarnya menjadi platform kepada saya untuk mengenali lebih ramai kawan daripada saudara baru seterusnya mendalami lebih banyak ilmu agama.

“Saya berharap majlis perjumpaan beramai-ramai seperti ini akan dapat diteruskan dari semasa ke semasa dengan melibatkan lebih ramai saudara baru,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Cyrinus Abdullah, 48, berkata, dia amat terharu apabila dijemput ke program itu.

Katanya, jemputan ke majlis tersebut telah mengimbas kembali pengalaman pahit manis semasa dia baru membuat keputusan masuk Islam.

“Majlis seperti ini sebenarnya telah menguatkan lagi semangat dan mengingatkan saya segala kesulitan lalu harus menjadikan saya orang Islam yang bertakwa,” ujarnya.

 Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusansabah@utusan.com.my

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s