Tiada tindakan susulan terhadap mualaf sebabkan murtad: Masidi

KOTA KINABALU: Tiadanya tindakan susulan terhadap saudara baru (mualaf) bagi memberikan didikan dan bimbingan kepada mereka mengenai agama Islam menyebabkan timbul isu kemurtadan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Masidi Manjun, berkata masalah ini berlaku sejak tahun 80an yang menyebabkan ada saudara baru terutamanya golongan wanita yang ditinggalkan serta diceraikan suami selepas mempunyai ramai anak kembali ke agama asal mereka.

“Mereka (saudara baru) ini jadi keliru, tidak ada bimbingan dan tiada tempat untuk mengadu masalah, mereka juga dipinggirkan keluarga selepas memeluk Islam dan ini menyebabkan ada di kalangan mereka menjadi murtad (kembali ke agama asal),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Iftar Perdana bersama Saudara Baru anjuran Hidayah Centre, Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) cawangan Sabah di Maggellan Sutera Harbour, di sini, kelmarin.

Masidi berkata, sepatutnya mereka ini (saudara baru) dibantu dan diberi perhatian dengan memberikan bimbingan dan didikan serta kefahaman yang lebih mendalam supaya memahami apa itu Islam dan ajaran yang sebenarnya.

Katanya, pada masa yang sama mereka ini juga akan dapat merasa dihargai selepas memeluk agama Islam.

“Inilah cabaran yang kita perlu hadapi, dengan membantu menyelamatkan orang lain yang menghadapi masalah dan ini dapat memperkasakan lagi jati diri mereka (saudara baru) sebagai seorang Islam sejati,” katanya.

Dalam pada itu, beliau juga berkata, usaha-usaha untuk memperkasakan agama Islam tidak seharusnya terlalu bergantung kepada usaha dan bantuan daripada kerajaan semata-mata.

Katanya, dalam tahun-tahun 50an dahulu di negeri ini, untuk mendirikan surau dan masjid ianya tidak terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan, ia banyak dilakukan oleh masyarakat Islam secara bergotong royong untuk membina rumah ibadat itu di kampung mereka.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha yang dijalankan oleh Hidayah Centre JIM yang mengadakan gerakan dakwah terhadap saudara baru secara sukarela bagi membantu dan meningkatkan lagi kefahaman para saudara baru terhadap agama Islam.

Terdahulu itu, Pengerusi Hidayah Centre JIM Pusat, Haji Mohammad Abdullah @ Nicholas Sylvester, berkata pusat itu yang ditubuhkan pada tahun 2005 bagi membantu menangani masalah kemurtadan di negara ini.

Katanya, sehingga kini terdapat 14 pusat itu (Hidayah Centre) dan ramai saudara baru mendapat manfaat daripada penubuhan pusat itu dalam membantu dan membimbing mereka memberikan kefahaman terhadap agama Islam yan sebenarnya.

Mengenai Iftar Perdana bersama Saudara Baru itu, beliau berkata, ianya diadakan di seluruh negara yang bertujuan meraikan Saudara Baru, memasyhurkan Hidayah Centre dan mendapatkan dana untuk operasinya.

Ia juga katanya, untuk menyebarluaskan dakwah secara meriah, kreatif interaktif dan santai dan pelbagai kepada semua lapisan masyarakat.

Pada majlis itu, lebih 300 orang terdiri daripada Saudara Baru hadir mengikuti program berkenaan yang buat pertama kali diadakan di negeri ini. 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s