Cabaran getir saudara baru

SEREMBAN 26 Okt. – Air mata Siti Rohani Chong Abdullah, 35, bergenang apabila bercerita tentang keperitan yang harus ditempuhinya.

Lima belas tahun dahulu Siti Rohani pernah disisih, malah dibuang oleh keluarga apabila menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam.

Episod sedih itu berlarutan apabila beliau mengahwini seorang lelaki Melayu yang diharapkan dapat membimbing ke jalan Islam namun diabaikan.

Itu cuma sepenggal daripada kisah sedih saudara baru yang harus melalui pelbagai rintangan termasuk sesetengah mereka dibuang keluarga dan menjadi sebatang kara.

Dalam usaha menjaga kebajikan dan membela nasib golongan tersebut, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui Pusat Dakwah Islamiah mengatur pelbagai program berkaitan.

Majlis Silaturahim Saudara Muslim anjuran JHEAINS di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini baru-baru ini antaranya untuk mengeratkan silaturahim sesama saudara baru sekali gus mewujudkan ikatan kemesraan dalam masyarakat Islam agar golongan itu tidak merasa tersisih.

Sebanyak 870 saudara baru di kalangan pelbagai bangsa termasuk Orang Asli dari seluruh negeri hadir dalam program tersebut yang turut dijadikan acara tahunan.

Menurut Siti Rohani, dalam usaha mendalami Islam, beliau tidak pernah ketinggalan menyertai program yang dianjurkan oleh agensi berkaitan.

”Apatah lagi apabila tiba Ramadan dan Syawal, macam-macam program diadakan sekurang-kurangnya saya rasa tenang dapat berada dalam kelompok yang sama seperti saya.

”Begitu juga dengan program dakwah lain kalau ada peluang saya pasti datang,” katanya.

Menurut wanita kelahiran Sabah itu, kesusahan yang harus dilalui itu tidak pernah meluntur keimanannya sebagai saudara baru dalam Islam.

”Sejak kecil saya banyak bergaul dengan rakan-rakan di kalangan orang Islam dari situ timbul perasaan cinta terhadap Islam. Keluarga memang membantah hingga jadi kes polis kerana saya dikatakan melarikan diri dari rumah tetapi setelah beberapa tahun mereka sudah dapat menerimanya.

”Selepas berkahwin, saya ingat semua kesengsaraan saya berakhir tetapi tidak juga,” katanya yang dalam proses perceraian.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, di sebalik pelbagai kesukaran hidup itu dia reda dan terus mendekatkan diri dengan Allah demi melaksanakan tanggungjawab sebagai hambaNya.

SEBAHAGIAN saudara baru yang hadir pada Majlis Silaturahim Saudara Muslim 2009 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

Seorang lagi saudara baru, Johaimi Lee Abdullah, 51, memberitahu, cabaran yang harus ditempuhi oleh mualaf sepertinya sangat getir dan tanpa kekuatan iman bukan sesuatu yang menghairankan jika ada yang kembali kepada agama asal.

”Banyak yang jadi sebatang kara apabila memeluk Islam dan kalau tidak dibimbing dengan cara betul tentu ada yang terpesong daripada landasan Islam,” katanya.

Menurut Johaimi, seperti kebanyakan saudara baru lain dia turut disisih oleh keluarga ketika mula-mula memeluk Islam 29 tahun lalu.

”Mujurlah beberapa tahun selepas itu saya bertemu seorang wanita Melayu dan berkahwin. Sekurang-kurangnya kehidupan saya lebih tenang berada dalam lingkungan mereka seagama,” katanya lagi.

Berbeza dengan Mohd. Harahai Abdullah, 27, hasratnya untuk memeluk Islam direstui oleh anggota keluarganya.

”Bukan itu saja kesemua 16 anggota keluarga saya turut memeluk Islam dan kami semua di islamkan di Pusat Dakwah ini bersama-sama pada 2002,” katanya yang berketurunan India.

Menurut pemuda dari Gemencheh itu, beliau tidak pernah merasa kekok menjalani ibadah sebagai orang Islam kerana keluarga dan rakan-rakan yang seagama banyak membantu.

Dari Utusan Malaysia, ARKIB : 27/10/2009 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s