Orang Kafir Tak Boleh Masuk Masjid?

(Dipetik dari blog Ustazah Maznah)

Soalan:

Salam Ustazah,

Mohon jelaskan hukum non muslim memasuki masjid dengan lebih mendalam.
Syukran jazila.

Jawapan:

Salam.

Persoalan ini telah dibahaskan oleh ulamak ketika mentafsirkan ayat 28 surah at-Taubah.
Allah s.w.t. telah berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡمُشۡرِكُونَ نَجَسٌ۬ فَلَا يَقۡرَبُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ ٱلۡحَرَامَ بَعۡدَ عَامِهِمۡ هَـٰذَا‌ۚ وَإِنۡ خِفۡتُمۡ عَيۡلَةً۬ فَسَوۡفَ يُغۡنِيكُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۤ إِن شَآءَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ حَڪِيمٌ۬

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:28)

Ayat ini mengandungi beberapa persoalan.

Pertama : Orang-orang musyrik itu najis. Apakah yang dimaksudkan dengan najis di sini adalah tubuh badan mereka?

Di dalam tafsirnya Ibn Kathir berkata bahawa menurut jumhur (majority) ulamak tubuh badan mereka tidak najis. Dalilnya ialah Allah s.w.t. menghalalkan orang Islam makan makanan Ahli Kitab. Sebahagian ulamak dari kalangan mazhab az-Zohiri berpendapat tubuh badan mereka adalah najis. Asy’ath melaporkan al-Hasan al-Basri berkata sesiapa yang berjabat tangan dengan musyrikin,hendaklah dia mengambil wuduk selepas itu.

Al-Qurtubi, di dalam tafsirnya al-Jami’ li-Ahkam al-Quran melaporkan bahawa Ibn ‘Abbas r.a. berkata yang najis itu kesyirikan yang menjadi pegangannya, bukan tubuh badannya.

Kedua: Larangan keatas mereka menghampiri Masjid al-Haram. Sehubungan dengan larangan ini, al-Qurtubi telah membincangkan beberapa isu:

i. Maksud Masjid al-Haram. Yang dimaksudkan dengan Masjid al-Haram adalah seluruh tanah haram. Belaiu telah menyebutkan pendapat ‘Ato’ bahawa orang musyrik diharamkan memasuki tanah haram seluruhnya. Apabila mereka datang sebagai utusan, mereka hendaklah menunggu di luar dan pemimpin Islam (sekiranya bertapak di dalam kawasan tanah haram) mesti keluar menemui mereka dan mendengar apa yang mereka bawa. Sekiranya mereka menyusup masuk, kemudian mati, hendaklah digali kurburnya dan dikeluarkan tulang-tulangnya. Tidak halal bagi mereka sama ada bermastautin atau lalu larang di dalam kawasan tanah haram Mekah.
adapun Semenanjung Arab yang tidak termasuk kawasan tanah haram, maka Imam Malik dan asy-Syafi’e berkata mereka tidak boleh tinggal di dalamnya tetapi tidak dilarang dari memasukinya sebagai musafir.

ii. Hukum orang kafir memasuki masjid, sama ada Masjid al-Haram atau lain-lain. Imam al-Qurtubi telah mengemukakan lima pandangan ulamak mengenainya:

a. Pendapat Ahli Madinah: Larangan yang disebut di dalam ayat ini merangkumi semua golongan musyrik dan semua masjid. Dalil mereka adalah:
– Surat yang ditulis oleh Khalifah Umar bin Abdul Aziz kepada gabenornya. Di dalam surat itu turut dimasukkan ayat ini (At-Taubah:28)
– Firman Allah yang bermaksud “(Nur hidayat petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.” (An-Nur:36). Masuknya orang kafir ke dalam masjid adalah bertentangan dengan suruhan memuliakannya.
– Hadis yang terdapat di dalam Sahih Muslim dan lainnya bermaksud: “Sesungguhnya masjid ini tidak selayaknya ada kencing dan sebarang kekotoran” , sedangkan orang kafir tidak terlepas daripadanya.
– Nabi s.a.w. bersabda maksudnya: “Tidak dihalalkan masjid untuk orang haid dan junub”, sedangkan orang kafir berjunub.
– Firman Allah di dalam ayat di atas yang bermaksud: (Sesungguhnya orang-orang musyrik itu najis). Allah telah menyatakan mereka adalah najis. Najis di sini sama ada diri mereka atau mereka tidak mengamalkan hukum bersuci. Walau apapun maknanya, menghalang mereka dari memasuki masjid adalah wajib kerana illah najis itu ada pada mereka dan kehormatan masjid tidak boleh diabaikan.
b. Imam asy-Syafi’ei berkata: orang musyrik yang disebut di dalam ayat ini merangkumi semua golongan kafir, manakala masjid pula adalah khusus kepada Masjid al-Haram. Oleh itu mereka tidak dilarang memasuki masjid-masjid yang lain daripadanya.
c. Abu Hanifah dan sahabat-sahabatnya berkata orang Yahudi dan Nasrani tidak dilarang dari memasuki Masjid al-Haram dan lain-lain. Yang dilarang dari memasuki Masjid al-Haram hanyalah musyrik penyembah berhala sahaja.
d. Al-Kiya at-Tobariy berkata menurut Imam Abu Hanifah, orang zimmi harus memasuki semua masjid tanpa keperluan (hajat), sedangkan Imam asy-Syafi’ei berkata keharusan adalah mengikut keperluan. Sungguhpun begitu Masjid al-Haram tetap tidak harus bagi mereka memasukinya walaupun ada hajat.
e. Pendapat ‘Ato’ bin Rabah: Seluruh tanah haram adalah qiblat dan masjid, maka tidak harus bagi mereka memasuki seluruh tanah haram berdasarkan firman Allah yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidilharam (di Mekah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Al-Isra’:1). Di dalam ayat ini Allah menyatakan Nabi di bawa dari Masjid al-Haram, sedangkan baginda diangkat dari rumah Ummu Hani. Ini menunjukkan seluruh tanah haram adalah masjid.

2 responses to “Orang Kafir Tak Boleh Masuk Masjid?

  1. BOLEHKAH ORANG BUKAN ISLAM MASUK KE DALAM MASJID?
    Isu saman yang dituntut oleh Jabatan Agama Islam Selangor terhadap Xavier Jayakumar kerana masuk ke dalam Masjid dalam jamuan berbuka puasa. Isu ini menjadi hangat kerana melibatkan politik di mana JAIS telah memfailkan tuntutan saman wakil Rakyat Partai Keadilan Sejahtera (PKR) dan juga Exco Selangor. Mengikut JAIS non-Muslim tidak sepatutnya masuk ke dalam Masjid kerana mereka dianggap tidak suci mengikut hukum Islam seperti perempuan yang sedang Haid (Menstruasi). Mengikut hukum sebenarnya : Bolehkah bukan Islam masuk ke dalam Masjid?

    Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya oran-orang musyrik itu najis (tidak suci), maka janganlah mereka mendakati Masjidil Haram sesudah tahun ini, dan jika kamu takut menjadi miskin, maka Allah akan memberikan kekayaan kepadamu daripada kurniaan-Nya, jika dia menghendaki. Sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi Maha bijaksana (At-Taubah 9;28).

    JAIS telah merujuk kapada ayat di atas yang mengatakan bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid, mengikut tafsiran ulama ayat tersebut dikhaskan pengharaman untuk non-Muslim masuk ke Masjidil Haram sahaja. Adapun dalil-dalil lain yang menyokong kebenaran bukan Islam masuk ke dalam masjid adalah :

    Nabi Muhammad SAW mengutus pasukan berkuda ke Najd, lalu mereka kembali dengan membawa seorang lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsumamah Bin Utsaal. Maka mereka mengikatnya di salah satu tiang Masjid (dilaporkan dalam Sahih Bukhari, No. 457).
    Daripada Hadith di atas jelas menunjukkan kebenaran bukan Islam masuk ke dalam Masjid, sekiranya bukan Islam tak boleh masuk ke dalam Masjid maka para sahabat takkan mengikat Tsumamah bin Utsaal di dalam Masjid ataupun Nabi Muhammad akan menghalang mereka untuk membawa masuk Tsumamah Bin Utsaal ke dalam Masjid.

    Dalam Hadith yang lain juga dilaporkan bahawa Nabi Muhammad berkata :

    Nabi Muhammad SAW telah mengutus pasukan berkuda ke Najd, lalu mereka kembali dengan membawa seorang lelaki daripada Bani Hanifah bernama Tsuamamah Bin Utsaal. Maka mereka mengikatnya di salah satu tuiang masjid. Lalu Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wassalam (SAW) keluar sambil berkata : “Lepaskan Tsumamah”. Iapun berjalan menuju kebun Kurma yang dekat dengan Masjid dan mandi. Kemudian ia masuk ke dalam Masjid dan berkata : Aku bersaksi bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasul/utusan Allah (dilaporkan dalam Sahih Bukhari- No. 450).

    Kalau kita rujuk Ali- ‘Imran 3;61 menyatakan :

    Siapa yang membantahmu tentang kisah ‘Isa sesudah datang kebenaran, maka katakanlah kepadanya : Marilah kita panggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, isteri-isteri kami dan isteri-isteri kamu, diri kami dan diri kamu, kemudian marilah kita bermuhabalah kepada Allah dan kita minta supaya La’knat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang penipu (Ali ‘Imran 3;61).

    Kalau kita rujuk sejarah turunnya ayat Ini adalah Nabi Muhammad SAW telah membenarkan orang-orang Nasrani dan Yahudi untuk tinggal di dalam Masjid selama tiga hari untuk berdialog mengenai konsep ketuhanan sehingga akhirnya Nabi Muhammad mengajak bermuhabalah atas sikap Yahudi dan Nasrani yang degil dan tidak mahu menerima kebenaran Islam.

    Maka mengikut ayat dan Hadith diatas, non-Muslim dibenarkan masuk ke dalam Masjid dengan mengikut garis panduan seperti berikut :

    1. Non-Muslim diharuskan masuk ke dalam Masjid selain Masjidil Haram dengan ada kebenaran daripada pihak Orang Islam

    2. Mereka mempunyai sebab yang minasabah sekiranya kemasukan mereka ke dalam Masjid untuk memecahbelahkan perpaduan masyarakat atau menyebarkan fitnah maka kebenaran mereka tidak dibenarkan memasuki Masjid.

    3. Mereka harus menghormati Masjid dan sedar akan kesucian Masjid bagi umat Islam beribadah

    4. Lelaki dan Perempuan yang masuk ke dalam Masjid harus menutupi aurat dengan menggunakan pakaian yang bersesuaian.

    • terima kasih atas perkongsian saudara. Semoga pelbagai isu dapat kita sama-sama berdiskusi di laman ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s