Introduction to Islam by Ustaz Nicholas Sylvester @ Muhammad Abdullah Part 2

2 02 2010





Introduction to Islam by Ustaz Nicholas Sylvester @ Muhammad Abdullah Part 1

2 02 2010





Tentang bahagian ’solusi’

8 01 2010

Antara yang menjadi kerisauan dalam diri saudara baru adalah bagaimana hendak berdepan dengan budaya keluarga dan sahabat handai mereka yang sebelum ini bertentangan dengan agama Islam.

Pelbagai isu seperti daging babi, arak, pengkebumian jenazah, upacara keagamaan dan meraikan perayaan dibincangkan dalam bahagian ‘5.0 SOLUSI’

Semoga melalui slot Solusi ini, mudah-mudahan ia dapat membantu untuk berinteraksi dengan lebih berkesan disamping menambahkan ilmu kita. InsyaAllah.

Sila klik tajuk dibawah untuk melihat persoalan-persoalan  mengikut bab-babnya.

BAB 1: FIQAH IMAN & AGAMA

Persoalan: Upacara Tafakur di hadapan patung

BAB 2: FIQAH BERSAUDARA, BERJIRAN DAN BERKAWAN

Persoalan : Menziarahi keluarga bukan muslim yang sakit ataupun meninggal dunia

BAB 3 : FIQAH MAKANAN

Persoalan: Haiwan sembelihan bukan Islam (bukan ahli kitab)

BAB 4 : FIQH KENAJISAN ANJING

Persoalan : Menyentuh tempat yang disentuh oleh anjing

BAB 5 : FIQAH PENGHARAMAN KHINZIR

Persoalan : Samak Mulut Kerana Termakan Daging Khinzir

BAB 6 :  FIQAH PENGHARAMAN ARAK

Persoalan :Kerjaya Berkaitan Arak





Elakkan Seperti Orang Nasrani Memuji Anak Maryam

5 01 2010

Jabatan Kemajuan Islam malaysia (JAKIM) didalam laman sesawangnya bahagian ‘Hadith hari ini’  http://www.islam.gov.my/portal/hadithhariini.php mengupas tentang hadis dibawah :

Dari Umar r.a katanya:”Saya mendengar Nabi s.a.w bersabda:” Janganlah kamu memuji (memuliakan) saya berlebihan sebagaimana orang Nasrani memuji (memuliakan) anak Maryam. Saya hanya hamba Allah. Maka katakanlah:”Hamba Allah dan Rasul-Nya.”

HURAIAN:

Umat Islam menolak ajaran Nasrani yang menyatakan fahaman Triniti (iaitu yang menyatakan Isa adalah anak Tuhan) sedangkan dalam al-Quran Allah telah berfirman yang maksudnya :

“Wahai Ahli Kitab, Janganlah kamu melampaui batas dalam agama dan janganlah kamu mengatakan terhadap Allah kecuali yang benar. Sesungguhnya al-Masih, Isa anak Maryam itu adalah utusan Allah dan (yang diciptakan dengan kalimat-Nya) yang disampaikannya kepada Maryam dan (dengan tiupan ) roh dari-Nya. Maka berimanlah kamu kepada Allah dan rasul-rasul-Nya. Dan janganlah kamu mengatakan :”Tuhan itu tiga”, berhentilah dari ucapan itu. Itu lebih baik bagi kamu. sesungguhnya Allah Tuhan yang maha Esa. Maha suci Allah dari mempunyai anak, segala yang di langit dan di bumi adalah kepunyaan-Nya.Cukuplah Allah sebagai Pemelihara”.(an-Nisa’ :171)

Maksud ayat ini adalah kita dilarang daripada mengatakan Nabi Isa itu anak Allah sebagaimana yang dikatakan oleh orang-orang Nasrani.

Dalam erti kata lain kita dilarang sama sekali memuji atau memuliakan sesuatu makhluk atau apa pun sehingga menjadi setaraf dengan zat Allah padahal Allah tidak beranak dan tidak diperanakkan.

Sifat Allah tidak menyerupai sesuatu apa pun!






Hak zakat golongan mualaf

16 12 2009

Jumaat, September 18, 2009 Utusan online

GOLONGAN mualaf adalah antara mereka yang layak menerima zakat. Ia sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah yang maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang fakir, orang miskin dan amil-amil yang menguruskannya dan orang mualaf…(at-Taubah: 60)

Persoalannya, masih terdapat golongan ini yang terpaksa turun-naik pusat zakat atau Baitulmal memohon bantuan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Pengarah, Pusat Pemikiran dan Kefahaman Islam (CITU) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam merangkap Pengarah Institut Kajian Zakat Malaysia (IKAZ) UiTM, Prof. Madya Dr. Muhamad Rahimi Osman yang memperkatakan tentang agihan zakat kepada asnaf mualaf.Dr. Muhamad Rahimi Osman

MEGA: Golongan mualaf adalah salah satu asnaf yang layak menerima zakat. Boleh Dr. jelaskan siapakah yang dimaksudkan dengan mualaf?

DR. RAHIMI: Golongan mualaf ialah mereka yang dijinakkan hatinya atau keyakinan hatinya dapat bertambah terhadap Islam. Mereka adalah salah satu dari lapan golongan yang layak menerima zakat.

Golongan mualaf ini seperti yang disebut oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya Fiqh al-Zakat boleh dibahagikan secara umumnya kepada kategori berikut:

1) Golongan yang diharapkan keislamannya atau keislaman keluarga serta kaumnya. Ini seperti yang berlaku kepada Safwan bin Umayyah yang pada masa pembukaan Kota Mekah diberikan keamanan oleh Rasulullah SAW dan diberi masa untuk memikirkan tentang dirinya (sama ada mahu memeluk atau sebaliknya).

Kemudian beliau kembali bertemu Nabi dan turut berperang bersama kaum Muslimin dalam peperangan Hunain, yang ketika itu beliau masih belum lagi memeluk Islam.

Kemudian Rasulullah SAW memberinya sejumlah unta yang banyak dari sebuah lembah (wadi), sambil menyatakan ini adalah pemberian orang yang tidak takut akan kefakiran. Dengan pemberian itu Safwan bin Umayyah memeluk Islam.

2) Golongan orang yang ditakuti akan kejahatan mereka. Mereka ini dimasukkan ke dalam kelompok penerima zakat, dengan harapan dapat mencegah kejahatannya.

Dalam riwayat Ibnu Abbas dikatakan, bahawa ada suatu kaum datang kepada Nabi SAW yang apabila mereka diberi bahagian dari zakat, mereka memuji Islam dengan menyatakan: “Inilah agama yang baik!” Akan tetapi apabila mereka tidak diberi, mereka mencelanya.

3) Golongan orang yang baru memeluk Islam. Mereka perlu diberi perhatian agar bertambah mantap keyakinannya terhadap Islam.

Ini kerana setiap orang yang baru memeluk Islam sesungguhnya telah meninggalkan agamanya yang lama, mengorbankan apa yang menjadi miliknya dari kedua orang tua dan keluarganya.

Dimusuhi keluarga dan diputuskan rezekinya. Tidak dapat diragukan lagi, bahawa orang yang merelakan dirinya dan meninggalkan dunianya semata-mata kerana Allah sangat perlu diberi perlindungan dan pertolongan.

MEGA: Saidina Umar Al-Khattab telah membatalkan pemberian zakat kepada asnaf mualaf. Apakah bahagian golongan mualaf ini telah dimansuhkan selepas kewafatan Rasulullah SAW?

DR. RAHIMI: Apa yang dilakukan oleh Saidina Umar sebenarnya bukan memansuhkan asnaf mualaf dari ketetapan yang telah dibuat oleh al-Quran.

Sebenarnya apa yang dibuat oleh Umar pada masa pemerintahannya ialah beliau tidak lagi memberi zakat kepada golongan ini kerana menurut pendapatnya bahawa Islam sudah kuat dan tidak perlu lagi untuk dipujuk hati golongan bukan Islam seperti yang berlaku di zaman Nabi SAW.

Begitu juga menurut beliau mualaf itu bukan sesuatu yang bersifat tetap, dan tidak bermakna seorang yang mualaf pada suatu masa, tetap mualaf pula pada masa lain.

Namun begitu terdapat pandangan ulama yang menyatakan bahawa keperluan untuk menjinakkan hati golongan bukan Islam tidak terhenti. Sebabnya, ini termasuk dalam tugas dakwah Islam yang akan mengeluarkan golongan bukan Islam dari lembah kekufuran kepada cahaya Islam.

MEGA: Siapakah bertanggungjawab memujuk hati dan menyerahkan zakat kepada golongan mualaf?

DR. RAHIMI: Dengan menjadikan golongan ini sebagai sasaran zakat, jelas kepada kita bahawa zakat dalam pandangan Islam bukan sekadar perbuatan baik yang bersifat kemanusiaan dan bukan pula sekadar ibadah yang dilakukan secara peribadi. Ia adalah salah satu tugas pemerintah.

Ini kerana kebolehan menarik hati dan penentuan keperluan golongan mualaf hanya boleh ditentukan oleh pihak pemerintah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW dan Khulafaur-Rasyidin.

Pemerintah juga bertanggungjawab melindungi saudara baru Islam ini, yang kadang-kadang akan melibatkan isu-isu perundangan dan politik.

MEGA: Bagaimana pemerhatian Dr. terhadap kebajikan asnaf mualaf di negara kita?

DR. RAHIMI: Kedudukan perkara ini sebenarnya memerlukan kajian yang menyeluruh di seluruh negara bagi kita melihat tahap kebajikan asnaf.

Kajian sebegini perlu agar membantu pihak berkaitan mengefisienkan bantuan dan paling kurang, agar tidak berlaku ‘terlepas pandang’ dalam menjaga dan memelihara kebajikan asnaf ini.

Tinjauan secara umum di negeri Selangor, kebajikan asnaf ini diberi tumpuan istimewa.

Pelbagai bantuan disalurkan dengan mengambil kira tahap ekonomi dan bentuk bantuan yang diperlukan asnaf berkaitan. Bantuan yang diberi meliputi sumbangan awal ketika memeluk Islam dan bantuan berterusan mengikut keperluan asnaf bagi tempoh lima tahun.


MEGA: Kebelakangan ini, kita sering melihat beberapa saudara mualaf meminta bantuan daripada masjid ke masjid atau daripada rumah ke rumah seolah-olah ‘meminta sedekah’. Kenapa berlaku hal sebegini?

DR. RAHIMI: Kita memang tersua senario seperti ini. Di kariah saya pun ketika bulan Ramadan ini, surau kami kerap didatangi asnaf mualaf.

Seperti yang dinyatakan tadi, hal ini juga perlu dibuat kajian dan siasatan. Beberapa perkara mungkin menyumbang kepada fenomena ini.

Pertama, asnaf berkaitan mungkin tidak tahu haknya yang memang tersedia di pejabat agama. Ini berlaku jika asnaf berkaitan memeluk Islam melalui saluran umum yang belum melalui proses jabatan agama.

Keduanya, kita tidak mengetahui status mualafnya itu sudah berapa lama. Kemungkinan sudah melebihi lima atau 10 tahun.

Jika bantuan kepadanya mungkin sudah terhenti kerana sudah terlalu lama status mualafnya, bantuan masih tetap perlu diberi jika insan berkenaan tergolong dalam kelompok asnaf fakir, miskin dan gharimin (orang yang berhutang).

Ketiganya, kemungkinan berlaku di sana masalah sikap mualaf itu sendiri yang sudah selesa dengan menerima bantuan orang lain.

Ini melibatkan masalah tarbiyah yang perlu diusahakan agar mereka memahami perkara pokok berhubung dengan kedudukan meminta-minta dalam agama Islam.

Apa pun keadaannya, permasalahan ini tidak boleh dipandang ringan kerana senario berleluasa peminta sedekah mualaf memberi implikasi yang tidak elok pada pandangan umum.

Seolah-olah masuknya mereka kepada agama Islam berakhir dengan menjadi peminta sedekah.

Senario ini juga memberi gambaran begitu lemahnya sistem takaful Ijtimaii masyarakat Islam hingga tidak dapat membantu saudara mereka yang baru memeluk Islam.

MEGA: Apakah pendekatan terbaik dalam menyalur bantuan kepada asnaf mualaf ini?

DR. RAHIMI: Perkembangan Islam di negara kita ternyata menarik minat non-Muslim mendekati Islam. Mereka ini terdiri daripada lelaki dan wanita dengan peringkat umur serta latar belakang sosio-ekonomi yang berbeza.

Kedudukan ini tentunya menggambarkan bantuan yang diperlukan mereka tidak sekata. Bagi golongan remaja, perhatian perlu diberi kepada memastikan mereka mendapat bantuan secukupnya untuk menimba ilmu dan mempunyai kemahiran tertentu untuk berdikari dalam kehidupan.

Bagi golongan yang tua dan uzur, perhatian yang perlu diutamakan ialah memastikan mereka mendapat bantuan secukupnya dalam meneruskan kehidupan.

Adalah suatu kezaliman di pihak ummah membiarkan mereka meminta sedekah untuk memenuhi keperluan mereka ini. Untuk perlu rasa satu keaiban jika keadaan ini berlaku. Lebih-lebih jika keperluan mereka itu tidak terbela dan disiarkan pula secara umum dalam program ‘Bersamamu TV3’.

Hari ini, kemungkinan pengurusan sebegini agak besar memandangkan pejabat agama terhad kakitangannya berbanding dengan hal-hal yang perlu diuruskan di setiap negeri.

Keadaan ini menuntut keprihatinan orang ramai untuk hubungkan asnaf-asnaf yang memerlukan kepada pengetahuan pihak berwajib agar tidak berlaku ‘terlepas pandang’ dalam memelihara kebajikan asnaf dan hak mereka yang sepatutnya.

Untuk tujuan ini, para amil boleh berperanan sepanjang tahun menyalur maklumat kepada pejabat agama agar tidak hanya aktif ketika bulan Ramadan.

Usaha ini juga boleh meminimumkan hal-hal birokrasi yang mungkin timbul jika asnaf berurusan secara terus dengan pejabat agama.





Al-Quran mengubat jiwa

11 12 2009

Sumber dari Utusan Malaysia, ARKIB : 17/09/2008

DIAM tidak diam, sudah lebih dua minggu umat Islam berpuasa. Malah pada hari ini, umat Islam sedang dalam suasana memperingati hari turunnya al-Quran atau dipanggil Nuzul Quran.

Kelaziman di Malaysia, hari ini diraikan dengan pengisytiharannya sebagai cuti umum di beberapa negeri serta penganjuran program-program ceramah di sana sini.

Hakikatnya, adakah cara ini sudah memadai sebagai peringatan bagi kaum Muslimin agar memperingati salah satu peristiwa besar dalam sejarah Islam serta kewajipan umat Islam kini kembali untuk mempelajari, memahami dan mengkaji isi kandungan al-Quran?

Ini kerana, al-Quran diturunkan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW bukan sekadar sebuah kitab tetapi untuk menjadi pedoman hidup atau petunjuk (hidayah) bagi umat manusia, memberi rahmat, syifa’, ketenangan, peringatan, penjelasan, sekali gus sebagai mukjizat atas kenabian Muhammad SAW.

Sebagaimana yang ditegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dan yang batil)…” (al-Baqarah: 185)

Oleh itu, seharusnya peringatan Nuzul al-Quran menjadi momentum bagi umat Islam untuk menilai kembali sejauh mana mereka memahami dan menghayati kandungan al-Quran. Apatah lagi dalam kita melayari Ramadan mulia ini.

Allah berfirman yang bermaksud: Kitab suci ini diturunkan untuk memberi keputusan (jalan keluar) terbaik bagi masalah-masalah kehidupan manusia (al-Baqarah: 213).

RAMADAN merupakan bulan yang digalakkan umat Islam memperbanyakkan membaca al-Quran.

Peristiwa penurunan pertama al-Quran kepada Nabi Muhammad SAW ketika berkhalwat di Gua Hira’ pada malam Jumaat bertepatan 17 Ramadan iaitu tahun ke-41 dari kelahiran Baginda sentiasa dijadikan pemangkin semangat kepada pemuda mualaf kelahiran Perkampungan Muramvya, Burundi, Afrika, Hilali Sibomana, 30, dalam usaha beliau menguasai dan menyelidik ilmu al-Quran.

Beliau berkata, surah al-Alaq yang bermula dengan suruhan yang bermaksud: “Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan”… adalah bukti paling jelas dan sahih tentang kepentingan pencarian ilmu itu. Sayangnya, umat Islam memandang remeh akan penekanan ke atas ayat ini.

“Saya mengenali al-Quran sejak usia kanak-kanak lagi. Ini kerana dilahir dan dibesarkan dalam kelompok mubaligh Kristian, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menguasai bukan sahaja kitab Injil tetapi juga al-Quran.

“Pada peringkat awal, memang pembelajaran saya semata-mata demi mencari kelemahan al-Quran untuk mudah berhujah bila berhadapan dengan umat Islam.

“Tetapi semakin saya mendalami kitab suci ini, semakin saya meyakini dan akhirnya, mengakui kebenaran agama Islam,” cerita pemuda ini yang reda bergelar pelarian politik di bawah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) demi mempertahankan akidah Islamnya.

Anak tunggal ini turut kehilangan ibu bapa tercinta hanya kerana pengislaman diri kira-kira lima tahun lalu. Pun begitu, beliau tidak pernah menyalahkan takdir Ilahi ini kerana lebih takutkan pembalasan Allah SWT kelak berbanding ancaman atau ugutan manusia.

Mengakui dirinya agak bertuah kerana tidak menghadapi masalah dalam mempelajari al-Quran hasil didikan awal yang diterima dahulu. Pun begitu, Hilali tidak sekali-kali menganggap pencapaiannya itu sudah dikira baik.

Lantaran itu, dari semasa ke semasa beliau belajar memperbaiki mutu bacaan, tajwid dan kefahaman menerusi cakera padat dan kaset. Malah beliau menjadikan kebiasaan membaca al-Quran kemudian diselikan dengan melihat kepada terjemahan daripada kitab tafsir.

Al-Quran

Dalam sesi fotografi yang dilakukan di sebuah masjid di Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini turut disertai dua rakan mualaf kelahiran Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah iaitu Joannes Lukas, 29, dan Muhd. Assamarqandi Lee Abdullah, 28.

Sebagaimana hidayah yang Allah SWT suntikkan dalam jiwa Hilali, begitu jugalah sama yang dialami Joannes dan Assamarqandi iaitu membuat perbandingan di antara al-Quran dengan kitab Injil serta penjelasan tentang konsep ketuhanan di dalam agama Islam.

Kata Muhd. Assamarqandi lagi, pembelajaran al-Quran diikutinya secara sepenuh masa di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), Kelantan dari 2005 hingga 2007.

Alhamdulillah, katanya, tiada halangan ketika belajar. Cuma selepas berkahwin dan mendapat cahaya mata, beliau terpaksa memilih sama ada untuk meneruskan pelajaran atau bekerja? Jadi, pada masa itu, beliau memilih untuk berkerja demi mencari nafkah keluarga.

“Malah saya benar-benar bersyukur kerana dengan sentiasa mendekatkan diri kepada al-Quran serta istiqamah dalam pengamalannya, ia telah berjaya menyingkirkan segala kekotoran jiwa yang melekat dalam lubuk hati ini.

“Percaya atau tidak, saya pernah bergelar penagih dadah, perokok dan kaki botol. Alhamdulillah, kesemua tabiat buruk ini berjaya ditinggalkan berkat keyakinan dan bantuan daripada Allah SWT. Malah al-Quran itu menjadi pelindung diri ketika berjalan atau bekerja dan ketenangan jiwa,” katanya yang amat bersyukur kerana antara insan terpilih oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya.

Nasihat beliau kepada generasi muda sekarang yang bakal memerintah bumi ini, bahawa kehidupan di dunia itu tidak kekal, suatu hari nanti semua akan merasai maut. Oleh itu, tanpa ilmu kita akan sesat.

“Belajarlah ilmu al-Quran, anda pasti akan dapat sesuatu yang tidak pernah anda sangkakan. Ini pengalaman saya, pintu rezeki bertambah malah saya telah memenangi beberapa pertandingan tilawah al-Quran. Hakikatnya, dengan ilmu Quran sebagai panduan hidup, pasti akan berjaya dunia dan akhirat. Insya-Allah,” katanya yang memeluk Islam pada 15 Jun 2004.

Inisiatif

Sementara itu, Joannes selepas memeluk agama Islam, terus belajar tajwid dan iqra’ iaitu dua kali seminggu dengan Imam I di Universiti Putra Malaysia (UPM). Pembelajarannya tidak setakat itu, beliau juga mengambil inisiatif mengulangkaji selepas tamat kelas dan selepas solat.

“Alhamdulillah dalam tempoh tiga bulan, saya sudah menguasai surah-surah lazim dari surah ad-Dhuha ke surah an-Naas. Dari situlah saya boleh membaca al-Quran dengan baik. Kemudian, saya sambung hingga tamat iqra’ enam. Kesemua ini lengkap dipelajari dalam tempoh enam bulan sebelum mendapat tunjuk ajar daripada Hj Ma’som. Memperoleh bimbingan daripada beliau secara tidak langsung menjadikan bacaan al-Quran saya bertambah berkualiti,” jelasnya.

Menyentuh pembacaan al-Quran, Joannes berkata, beliau tidak pernah bosan kerana memang minat dan menganggap kitab suci itu sebagai teman hidup.

“Sebab itulah, apabila berjaya menguasainya, keseronokan yang dirasai tidak terhingga seolah-olah seperti mendapat ijazah pengajian Quran malah timbul satu azam untuk menghafal al-Quran dalam tempoh setahun,” akui Joannes yang bercita-cita untuk memahami, menghayati, mempraktik dan menguasai ilmu perbandingan agama dengan baik. Harapannya lagi, ia secara langsung akan meningkatkan rasa cintanya kepada Allah dan Rasul-Nya.

Berkongsi kesan ke atas beliau, jelas lulusan Ijazah Sarjana Muda kejuruteraan dari UPM ini, al-Quran banyak membentuk keperibadiannya. Malah perasaan panas baran, tidak tenang dan tertekan berjaya dikawal.

“Apabila kita membiasakan diri dengan menghafal ayat-ayat al-Quran. Ia menjadi penenang hati. Selain itu, rasa cinta kepada Allah semakin menebal dan mendalam.

“Oleh itu, kita kenalah banyak berdoa minta dipermudahkan dalam pemahaman ajaran Allah dan agar dilembutkan hati.

“Yang penting sekali, selepas membacanya, kita kena lihat tafsir atau terjemahan dan jika boleh hafal, itu adalah lebih baik. Kemudian, kita imbas kembali, adakah cara hidup kita ini mengikut al-Quran dan sunah atau tidak?,” saran Joannes terhadap kepentingan setiap umat Islam tidak kira mualaf atau dilahirkan Muslim untuk menguasai al-Quran.

Sumber dari Utusan Malaysia, ARKIB : 17/09/2008 dari http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm





Cabaran getir saudara baru

11 12 2009

SEREMBAN 26 Okt. – Air mata Siti Rohani Chong Abdullah, 35, bergenang apabila bercerita tentang keperitan yang harus ditempuhinya.

Lima belas tahun dahulu Siti Rohani pernah disisih, malah dibuang oleh keluarga apabila menyuarakan hasrat untuk memeluk Islam.

Episod sedih itu berlarutan apabila beliau mengahwini seorang lelaki Melayu yang diharapkan dapat membimbing ke jalan Islam namun diabaikan.

Itu cuma sepenggal daripada kisah sedih saudara baru yang harus melalui pelbagai rintangan termasuk sesetengah mereka dibuang keluarga dan menjadi sebatang kara.

Dalam usaha menjaga kebajikan dan membela nasib golongan tersebut, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) melalui Pusat Dakwah Islamiah mengatur pelbagai program berkaitan.

Majlis Silaturahim Saudara Muslim anjuran JHEAINS di Pusat Dakwah Islamiah Paroi di sini baru-baru ini antaranya untuk mengeratkan silaturahim sesama saudara baru sekali gus mewujudkan ikatan kemesraan dalam masyarakat Islam agar golongan itu tidak merasa tersisih.

Sebanyak 870 saudara baru di kalangan pelbagai bangsa termasuk Orang Asli dari seluruh negeri hadir dalam program tersebut yang turut dijadikan acara tahunan.

Menurut Siti Rohani, dalam usaha mendalami Islam, beliau tidak pernah ketinggalan menyertai program yang dianjurkan oleh agensi berkaitan.

”Apatah lagi apabila tiba Ramadan dan Syawal, macam-macam program diadakan sekurang-kurangnya saya rasa tenang dapat berada dalam kelompok yang sama seperti saya.

”Begitu juga dengan program dakwah lain kalau ada peluang saya pasti datang,” katanya.

Menurut wanita kelahiran Sabah itu, kesusahan yang harus dilalui itu tidak pernah meluntur keimanannya sebagai saudara baru dalam Islam.

”Sejak kecil saya banyak bergaul dengan rakan-rakan di kalangan orang Islam dari situ timbul perasaan cinta terhadap Islam. Keluarga memang membantah hingga jadi kes polis kerana saya dikatakan melarikan diri dari rumah tetapi setelah beberapa tahun mereka sudah dapat menerimanya.

”Selepas berkahwin, saya ingat semua kesengsaraan saya berakhir tetapi tidak juga,” katanya yang dalam proses perceraian.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, di sebalik pelbagai kesukaran hidup itu dia reda dan terus mendekatkan diri dengan Allah demi melaksanakan tanggungjawab sebagai hambaNya.

SEBAHAGIAN saudara baru yang hadir pada Majlis Silaturahim Saudara Muslim 2009 di Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Seremban, Negeri Sembilan.

Seorang lagi saudara baru, Johaimi Lee Abdullah, 51, memberitahu, cabaran yang harus ditempuhi oleh mualaf sepertinya sangat getir dan tanpa kekuatan iman bukan sesuatu yang menghairankan jika ada yang kembali kepada agama asal.

”Banyak yang jadi sebatang kara apabila memeluk Islam dan kalau tidak dibimbing dengan cara betul tentu ada yang terpesong daripada landasan Islam,” katanya.

Menurut Johaimi, seperti kebanyakan saudara baru lain dia turut disisih oleh keluarga ketika mula-mula memeluk Islam 29 tahun lalu.

”Mujurlah beberapa tahun selepas itu saya bertemu seorang wanita Melayu dan berkahwin. Sekurang-kurangnya kehidupan saya lebih tenang berada dalam lingkungan mereka seagama,” katanya lagi.

Berbeza dengan Mohd. Harahai Abdullah, 27, hasratnya untuk memeluk Islam direstui oleh anggota keluarganya.

”Bukan itu saja kesemua 16 anggota keluarga saya turut memeluk Islam dan kami semua di islamkan di Pusat Dakwah ini bersama-sama pada 2002,” katanya yang berketurunan India.

Menurut pemuda dari Gemencheh itu, beliau tidak pernah merasa kekok menjalani ibadah sebagai orang Islam kerana keluarga dan rakan-rakan yang seagama banyak membantu.

Dari Utusan Malaysia, ARKIB : 27/10/2009 http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1027&pub=Utusan_Malaysia&sec=Selatan&pg=ws_03.htm





KAFA Bahasa Inggeris Saudara Baru

24 11 2009

Anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin bersama Hidayah Centre & amp; MACMA

21 Nov, Putrajaya : Alhamdulillah, buat julung kalinya Kelas Asas Fardhu ‘Ain dalam bahasa Inggeris yang diadakan mendapat perhatian 25 peserta saudara baru yang berasal dari luar negara. Kelas ini telah dianjurkan oleh Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (TMZA) kerjasama dengan Hidayah Centre dan MACMA.

Peserta-peserta dari pelbagai bangsa menyertai Kelas Fardu Ain (KAFA) Bahasa Inggeris

Kelas Fardu Ain (KAFA) menggunakan Bahasa Inggeris turut menarik minat bangsa asing lain.

Kehadiran peserta yang menggalakkan ini terdiri daripada masyarakat Filipina, Afrika dan Laos memenuhi objektif program KAFA ini iaitu member kefahaman Islam dalam sudut fardhu ‘ain dan mengimarahkan masjid sebagai pusat tarbiyah sepanjang hayat.

Kelas separuh hari ini turut diisi dengan kelas Kesempurnaan Wudhu’ dan Tayyamum serta kesempurnaan solat dan Bacaan Surah Fatihah yang disampaikan oleh Ustaz Hafiz Syarafudin Kelvin bin George daripada Islamic Outreach ABIM.

Salah seorang peserta KAFA, Encik Ahmad Hassan Augustinus berasal dari Afrika yang sekarang tinggal di Ampang turut berkongsikan kefahaman beliau. “Islam itu cantik dan mudah dipraktikkan, malah saya baru tahu ada cara alternatif dalam bersuci untuk bertemu Allah dalam solat kita. Saya ingatkan bersuci guna air sahaja rupa-rupanya boleh juga guna debu atau pasir. Teringat tempat asal saya.”

Dalam pada itu, Ustaz Mohd Meeftah Anuar, Pengarah Program KAFA turut merakamkan ribuan terima kasih kepada badan-badan NGO Islam yang terlibat dalam menjayakan program ini. Insya’Allah kita akan teruskan usaha murni ini pada Januari 2010 dengan memberi fokus utama kepada peserta-peserta IPT dari luar negara.

Berita dari Hidayah Centre.





Orang Kafir Tak Boleh Masuk Masjid?

15 11 2009

(Dipetik dari blog Ustazah Maznah)

Soalan:

Salam Ustazah,

Mohon jelaskan hukum non muslim memasuki masjid dengan lebih mendalam.
Syukran jazila.

Jawapan:

Salam.

Persoalan ini telah dibahaskan oleh ulamak ketika mentafsirkan ayat 28 surah at-Taubah.
Allah s.w.t. telah berfirman:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِنَّمَا ٱلۡمُشۡرِكُونَ نَجَسٌ۬ فَلَا يَقۡرَبُواْ ٱلۡمَسۡجِدَ ٱلۡحَرَامَ بَعۡدَ عَامِهِمۡ هَـٰذَا‌ۚ وَإِنۡ خِفۡتُمۡ عَيۡلَةً۬ فَسَوۡفَ يُغۡنِيكُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۤ إِن شَآءَ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ عَلِيمٌ حَڪِيمٌ۬

Maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis, oleh itu janganlah mereka menghampiri Masjidilharam sesudah tahun ini dan jika kamu bimbangkan kepapaan, maka Allah akan memberi kekayaan kepada kamu dari limpah kurniaNya, jika Dia kehendaki. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana. (At-Taubah:28)

Ayat ini mengandungi beberapa persoalan.

Pertama : Orang-orang musyrik itu najis. Apakah yang dimaksudkan dengan najis di sini adalah tubuh badan mereka?
Read the rest of this entry »





Fardhu Ain Courses (in English) at Masjid Tengku Mizan Putrajaya

8 11 2009

Assalamualaikaum WRT All Dear Brothers and Sisters..

Hidayah Centre with generous sponsorship of JAKIM will be scheduling a Program of the above on the 21 November 2009 at Masjid Tengku Mizan Putrajaya.

Those who are interested to learn more in depth or refreshing one of the most important Islamic tenets as complimentary and obligatory to our fulfillment of Ibadah ….kindly contact Brother Yahya Lukman or Joannes Lukas from Hidayah Centre03-4108 9669 @ 013-3040834…or ust Mohd Meeftah 03-8890 3597 @ 019-2303 720.

All are encouraged and welcome to register for the Program… Sharing is caring is learning and loving all Mankind..

Salam ukhwah for Allah

Sister Suraya